Saturday, 20 December 2008

Kewajiban Menjauhi Majlis Dan Ahli Maksiat


(Semoga Allah memberi keampunan kepadaku)

Firman Allah SWT: (maksudnya):

Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).

Dalam menafsirkan ayat ini Ibn 'Abbas berkata: Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.
( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).

Firman Allah lagi: (maksudnya):

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/418, Beirut: Dar al-Fikr).

No comments:

Post a Comment